KATA ALU-ALUAN PENGETUA

  

 PERUTUSAN PENGETUA SMK KULAI BESAR

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Pertama-tamanya saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2016 kepada semua warga SMKKB. Semoga kita semua dapat melangkah ke tahun 2016 dengan penuh iltizam dan mampu mendukung cabaran untuk melaksanakan dan menunaikan segala amanat dan janji yang telah dipertanggungjawabkan di pundak kita.

 

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat illahi kerana dengan izin-Nya , kita dapat menyambut kehadiran tahun 2016 dengan suasana yang aman dan bebas dari segala ancaman dan musibah. Walaupun kenangan dan bebanan tahun 2015 masih terasa, namun saya berharap segala pengalaman dan kekangan tersebut dapat menjadi kekuatan dan inspirasi bagi warga sekolah untuk memastikan aspirasi keberhasilan murid bagi tahun 2016 akan menyerlah.

 

Selaras dengan anjakan ke-9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025, sesungguhnya kolaborasi dalam semua aspek amat diperlukan daripada semua warga sekolah ini bagi mencapai kecemerlangan sekolah. Kerjasama yang erat bagai aur dengan tebing diharap dapat membawa perubahan bersepadu dalam mengangkat martabat sekolah sekali gus mengangkat martabat pendidikan di Malaysia.

 

Kita sedia maklum bahawa tahun 2016 merupakan tahun akhir gelombang pertama PPPM.  Segala tindakan harus selari dengan lima aspirasi dan enam pencapaian murid.  Keberhasilan murid perlu diterjemahkan melalui anjakan paradigma sekolah abad 21. Para guru bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana pembelajaran bilik darjah abad 21 dengan kepelbagaian aktiviti seperti KBAT dan I-THINK.

 

Slogan KPM 2016 ialah Membina Ilmu dan Menyempurnakan Akhlak  hendaklah diberikan perhatian dalam membina modal insan. Para pelajar hendaklah dididik untuk belajar membuat sapaan,memberi laluan dan kebersihan. Justeru itu, nilai-nilai murni perlu menjadi amalan harian dalam kehidupan seharian seperti saling menghormati, saling mempercayai antara satu sama lain, menjalin kerjasama yang erat, ikhlas dalam melaksanakan tugasan yang dipertanggungjawabkan.

 

Intipati seperti ini pasti dapat menjadikan sekolah ini cemerlang daripada segi akedemik, kokurikulum, akhlak dan sahsiah, seterusnya menjadi bangsa Malaysia yang cemerlang dalam pelbagai aspek.

Akhir kalam, kita hayati pantun warisan di bawah

Adat sesampan satu haluan

Adat seperahu satu kemudi,

Adat sehaluan satu tujuan

Adat sekemudi bersatu hati

Sekian terima kasih.

 

TUMIN BIN YATMAN

Pengetua

SMK.Kulai Besar

Kulaijaya, Johor